Khamis, 26 Julai 2007

IHTIFAL (HAFLATUL QURAN)

IHTIFAL (HAFLATUL QURAN)
Di Perkarangan MTT Tok Jiring Kuala Terengganu
Dari 27 July 2007 Hingga 28 July 2007

SEJARAH INSTITUT BERAKAN

INSTITUT BERAKAN(Maahad Ikhwan)Satu Dokumentasi TentangSejarah , Komitmen ,GerakanDan Cabaran

PENGENALAN
Pada awal tahun 70an, pertumbuhan institusi-institusi pendidikan swasta begitu lembab sekali. Tidak ada pihak yang berminat atau berhasrat untuk mengasas dan menubuhkan institusi seperti ini adalah berkait rapat dengan faktor semasa.
Antaranya ialah peluang pekerjaan untuk lulusan universiti dalam dan luar negeri begitu tipis sekali kerana kerajaan pada masa itu tidak mampu mengatasi masalah kekurangan pekerjaan untuk lulusan universiti. Selain dari itu, kesedaran rakyat terhadap betapa pentingnya ilmu pendidikan khasnya yang berteraskan Islam, benar-benar telah menginsafkan banyak pihak. Dan sekaligus berusaha sedaya-upaya menubuhkan institusi -institusi pendidikan swasta.
Berbanding dengan Negeri Kelantan Darul Naim, perkembangan institusi pendidikan swasta di negeri ini begitu pesat sekali pada waktu itu. Lebih dari 20 buah institusi pendidikan swasta telah beroperasi sedangkan di terengganu sekarang, jumlahnya baru mencapai 3 buah sahaja. Ini sudah tentu tidak seimbang dengan budaya dan tuntutan masyarakat terhadap pendidikan.

LATAR BELAKANG PENUBUHAN DAN PENGASASAN
Hasrat untuk menubuhkan sebuah institusi pendidikan swasta di terengganu pada pertengahan tahun 70an bukanlah inisiatif kosong yang tidak berperancangan. Komitmen yang benar-benar lahir dari kesedaran telah membara untuk membina kegigihan dan kekuatan bagi berdepan dengan pelbagai risiko apabila berjaya menubuhkan institusi pendidikan tersebut.
Pada masa itu sudah wujud institusi pendidikan swasta yang popular dan berkembang pesat di Terengganu iaitu Maktab Adabi dan Grammar School. Disamping itu, kewujudan Yayasan Anda Akademik di Kuala Lumpur yang telah diasaskan oleh ABIM dengan memperkenalkan konsep pendidikan Islam, telah memberi inspirasi kepad penubuhan institut berakan. Pada waktu itu juga terdapat 2 buah lagi sekolah iaitu Institut An-nur di Kelantan dan Institut Sofa di Perak. Kejayaan institusi seperti ini, telah mendorong untuk orang lain turut serta menceburi bidang tersebut. Ia bukan bertujuan untuk mendapatkan keuntungan tetapi mendidik anak bangsa supaya maju, selaras dengan kehendak Islam.
Sebenarnya cadangan dan hasrat untuk menubuhkan Institut Berakan pada waktu itu, hanyalah bermodalkan 'air liur' semata-mata. Siri-siri perbincngan dan beberapa penyelidikan dilakukan dari masa ke semasa dari tahun 1976 untuk mempastikan Institut Berakan yang ditubuhkan itu benar-benar mampu melahirkan pelajar yang soleh dan cemerlang dalam keputusan akademiknya.
Keazaman dan cita-cita yang meluap-luapuntuk melihat sebuah institusi pendidikan swastaterbentuk dan berkhidmat kepada masyrakat, akhirnya menjadi kenyataan. Institut Berakan mula beroperasi pada 20 September 1976 dan pendaftarannya diluluskan oleh Pejabat Pendaftaran Negara pada 16 Januari 1977.
Antara tenaga penting yang menggerakkan usaha penubuhan Institut Berakan ialah Ustaz Haji Abu Bakar Chik dan Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah. Ustaz Abu Bakar Abdullah ketika itu masih belum lagi menamatkan pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia. Seorang lagi, Ustaz Haji Abdul Rashid Omar, pada masa itu menjadi tenaga pengajar di Maktab Perguruan Adabi, Kelantan. Dua orang lagi tenaga penting Institut Berakan ialah Cikgu Safinah Jusoh dan Cikgu Raja Hindun Raja ABDUL Rahman. Kedua-duanya berkelulusan Institut Teknologi Mara(ITM)
Kelima-lima nama tersebut merupakan pelopor dan tonggak yang sekaligus menjadi tenaga-tenaga penting yang bertanggungjawab memaju dan mengembangkan Institut Berakan. Mereka telah bekerja keras mempastikan jatuh-bangunnya Institut Berakan bersama sahabat-sahabat yang lain.

STRUKTUR DAN HARAKI ORGANISASI
MURSYID Jawatan ini berfungsi sebagai sumber rujukan dan penasihat. Bagaimanapun ianya tidak terlibat secara rasmi dalam soal-soal penyeliaan harian. Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang pernah dilantik menjawat jawatan ini bermula dari tahun 1977 hingga sekarang.

PENGERUSI
[1] Yang Berhormat Dato' Wan Adnan Mohd Ismail [1977-1980] [Peguamcara dan Peguam bela]
[2] Encik Kamaruddin Mohd Noor [1981-1991] [Bekas Pengarah Yayasan Anda Akademik]
[3] Encik Abdul Rasyid Omar [Sekarang]

SYURA
Pengendaliannya dibuat secara kolektif dan mana-mana keputusan yang diambil adalah berdasarkan kepada konsep munyawarah. Bagi memenuhi hasrat ini, suatu Syura telah diwujudkan dan dianggotai oleh 10 orang ahli.

Mereka ialah;
[(1)] Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah
[Ketua]
B.A Hons & Dip. Ed. [1977-UKM]
M.A[1988-UKM]

[(2)] Ustaz Abu Bakar Chik
[Setiausaha]
B.A Hons & Dip. Ed. [1977-UKM]

[(3)] Ustaz Abdul Rashid Omar
[Ahli]
[Kolej Islam Malaya-1969]

[(4)] Cikgu Safinah Jusoh
[Ahli]
[ITM-1976]

[(5)] Cikgu Raja Hindun Raja Abdul Rahman
[Ahli]
[ITM-1976]

[(6)] Ustaz Mohd Hamdan Muhammad
[Ahli]
[Nahwatul Ulama Lucknow Uttar Pradesh , India]

[(7)] Ustaz Awang Embung
[Ahli]
[Takaful Fiddeen Trengganu-1978]

[(8)] Ustaz Haji Muhammad Yaacob
[Ahli]
B.A Hons [Uni. Al-Azhar, Mesir-1980]

[(9)] Cikgu Mohd Noor Embung
[Ahli]
B. Econs [UM-1990]

[(10)] Cikgu Hussin Ismail
[Ahli]
Diploma Sains [UPM]

ALIRAN PENGAJIAN
Pada peringkat awal penubuhan Institut Berakan, aliran pengajian yang dibuka kepada masyarakat adalah meliputi; [1] Aliran Sastera [2] Aliran Sains [3] Aliran Arab
Kelas-kelas pengajian secara tersusun mula diwujudkan sejak tahun 1977 hinggalah tahun 1988. dalam tempoh ini, kelas-kelas mula disusun bagi menampung keperluan pelajar-pelajar yang semakin meningkat khasnya dalam tingkatan 3,4,5 dan 6. Mereka ini adalah pelajar-pelajar yang mengikuti aliran Sastera, Sains, dan Arab yang diwujudkan. Kelas-kelas di sebelah malam turut dibuka untuk menampung keperluan semasa bagi mambimbing calon-calon Sijil Tinggi Persekolahan(STP) yang tidak berpeluang meneruskan pengajian atas sebab-sebab kerjaya. Di samping itu juga, kelas-kelas malam ini turut juga dibuka untuk pelajar tingkatan 3 dan 5 kerana mereka adalah calon bagi Sijil Rendah Pelajaran(SRP) DAN Sijil Pelajaran Malaysia(SPM). Dengan adanya kelas malam ini, pembelajaran ini menjadi bertambah tersusun dan para pelajar berjaya memperbaiki prestasi akademik masing-masing.
Institut Berakan juga, begitu serius dalam memberikan penekanan yang penting terhadap pendidikan akhlak. Bagi memenuhi hasrat itu, subjek Prinsip Islam telah dimasukkan dalam jadual induk bagi tujuan mendidik dan membekalkan kesedaran dan kefahaman Islam yang syumul.
Institut Berakan telah memberikan perhatian yang serius dalam usaha ini dan amat bertanggungjawab bagi mempastikan pembentukan insan berjaya dicernakan. Atas kesedaran 'vacuum' yang ada atas orientasi falsafah pendidikan sekular yang semakin menular, maka subjek Prinsip Islam dirasakan perlu untuk pelajar Institut Berakan memperbetulkan akhlak kepada yang lebih sempurna.

ALIRAN ARAB KHAS
Ahli Lembaga Pengarah Institut Berakan begitu prihatin terhadap usaha untuk terus mengembangkan aliran pendidikan di institusi ini. Mereka tidak mudah berpuas dengan kejayaan yang sedikit. Berbagai kelemahan dan kekurangan sentiasa difikirkan untuk diatasi segera. Mereka tidak jemu-jemu berikhtiar mengembangkan potensi dan dimensi pendidikan yang ada.
Pada tahun 1989, aliran Arab Khas telah dibuka. Langkah permulaannya dengan menampung pelajar menengah rendah iaitu untuk tingkatan 1,2 dan 3 sahaja. Aliran ini telah mendapat sambutan dari para pelajar dan masyarakat secara amat positif. Ia bukan sahaja manarik minat pelajar di negari Trengganu tetapi mereka juga mereka yang berada di negeri-negeri lain Semenanjung.

GERAKAN DAN PEMBANGUNAN
INSTITUT DAN PENGANTARABANGSAAN
Sekalipun Institut Berakan, pada awalnya berdiri dan wujud dengan stuktur fizikal yang lemah, namun keazaman telah mengalahkan kesemua faktor tersebut. Di awal tahun 70an telah memperlihatkan dinamisme gerakan Islam dan pasang-surutnya perjuangannya. Institut Berakan yang menjadi sebahagian dari mata rantai markas-markas gerakan Islam-ABIM waktu itu, turut berperanan dan terpanggil untuk membela kebenaran dan menyatakan yang haq.
Jihad di Palestin, pencerobohan Soviet ke atas Afghanistan dan kemenangan Revolusi Islam Iran memberi rangsangan kuat denyutan perihatin dan rasa tanggungjawab secara kolektif. Pelbagai ceramah umum diselenggarakan di perkarangan Institut Berakan, yang bertujuan untuk mengajak umat Islam berjihad dan memeberikan pengorbanan dalam pelbagai bentuk untuk dihantar kepada Mujahidden di perbatasan disamping tidak lupa berdoa agar Allah memberikan kemenangan kepada mereka. Pada waktu itu, Institut Berakan telah menerima tetamu dari dalam dan luar negeri. Antaranya termasuklah Menteri Kewangan sekarang, Dato' Seri Anwar Ibrahim yang pernah memberi ucapan dalam program anjuran institut. Tetamu dari pelbagai negara turut mengunjungi institut. Antaranya dari Lukhnow, Bangladesh, Yaman, Mesir, Burma, Republik Islam Iran dan Arab Saudi(Universiti Petroleum Dhahran). Syed Jaafar Khatami, Wakil Iran selepas revolusi dan Prof. Muhammad Al Wakeel dari Universiti Madinah, juga lain-lain tetamu telah sempat merakamkan ucapan terima kasih terhadap Komitmen Institut Berakan sekalipun berdepan dengan pelbagai masalah dan cabaran. Lawatan mereka adalah bertujuan untuk memanjangkan hubungan silaturrahim dan rasa ukhuwwah bagi menampilkan perasaan saling pesan-memesan di jalan kebenaran dan kesabaran. Hubungan seperti ini seringkali dicemburui dan diintai-intai oleh pihak yang tidak senang, sedangkan sikap pentadbir institut adalah terbuka, tiada kerahsiaan hinggalah ke hari ini. Sebenarnya proses 'alami, seperti mana yang didakwa oleh banyak pihak, sudahpun wujud di institut ini. Penyerapan roh dari harakah Islsm antarabangsa telahpun berlangsung waktu itu. Institut meneruskan perjuangan mereka di negara ini secara tidak rasmi. Malah tanpa disedari institut telah menjadi wadah pertemuan, perhimpunan dan medan ceramah membincangkan senario umat Islam semasa sama ada nasional mahupun antarabangsa.

TARBIYYAH
Aspek ini telah menjadi persoalan pokok yang dititikberatkan oleh pihak institut. Istilah 'Tarbiyyah' yang hangat diperkatakan kini telahpun berjalan seusia dengan umur institut. Program yang terangkum dalam aspek tarbiyyah ini meliputi ceramah, tamrin, seminar, kursus, kelas fardhu' ain, ijtima dan lain-lain lagi.
Diawal dekad 80an, pelbagai program tarbiyyah telah dijalankan bagi mewujudkan kesinambungan dari program-program tarbiyyah dekad 70an. Ketika itu,Latihan Angkatan Pendakwah-Pendakwah Islam Malaysia(LAPPIM) telah beroperasi dengan baik dan lancar. Ia telah menjadi wadah atau organisasi penting untuk para pelajar bergerak dan berbincang mengenai Islam, disamping kursus-kursus kepimpinan untuk Zon Timur terus diadakan dari masa ke semasa. Selepas itu muncul pula Gabungan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia(GAPIM). Beberapa program berupa kursus telah diadakan. Ia turut dijayakan dengan sumbangan-sumbangan tenaga dari para pelajar Universiti Malaya.
Diperingkat negeri pula, Persatuan Pelajar Islam Terengganu(KEPITAR) telah dihidupkan. Ia beroperasi di Institut Berakan. Kini, KEPITAR telah berubah namanya menjadi KEPIT manakala GAPIM berpindah pusat operasinya ke Universiti Islam Antarabangsa.
Berbeza dengan sekolah-sekolah kerajaan, kemudahan-kemudahan untuk beriadah agak berkurangan. Malah tumpuan ko-kurikulumnya juga lebih berbentuk orientasi pengisian bagi membina insani yang mantap dan utuh. Ini bersesuaian dengan motto dengan institut ini iaitu "Berilmu, Beriman Dan Beramal".
Program-program seperti tamrin, ceramah, seminar dan lawatan terus diadakan secara berterusan sebagai langkah untuk memupuk kesedaran dan membina daya intelek para pelajar. Program lawatan sambil belajar ke institusi-institusi pengajian tinggi juga didedahkan bagi memulihkan harapan dan keyakinan, seterusnya menimba pengalaman-pengalaman baru yang tersirat.
Bentuk tarbiyyah demikian ternyata telah memberikan kesan dan pengertian yang mendalam kepada para pelajar. Dalam proses pemahaman Islam yang sebenar, program tarbiyyah seperti ini telah menunjukkan kesan yang amat positif sekali. Ia tidak mengandungi unsur-unsur ekstrim. Hanya penekanan terhadap soal amal makruf nahi mungkar, mengenal tasawur Islam secara bersepadu dan melaksanakan perintah Allah dengan sebaik-baiknya.
Kesemuanya ini adalah berpaksikan kepada pandangan yang meletakkan pentafsiran baru tentang peranan dan tugas pelajar Muslim selaku anggota ummah. Perkembangan sejak kebelakangan ini, telah jelas menunjukkan bahawa keruntuhan akhlak dan kemerosotan kualiti pelajar dari 'kilang intelek' yakni sekolah mahupun institusi pengajian tinggi begitu ketara. Perseimbangan antara pencapaian prestasi akademik dan akhlak telah mewujudkan jurang yang besar dan begitu negatif sekali.
Kesopanan berpakaian, batas pergaulan, idealisme minda, hubungan antara guru dan murid dan cara bermuamalah dalam masyarakat juga turut melibatkan gaya penghormatan kepada ibu bapa secara tidak beradab. Ini berpunca dari dasar pendidikan liberal sekular dan pengaruh budaya negatif yang tidak terkawal.
Untuk berdepan dengan arus dan aliran masyarakat pelajar yang runtuh moralnya, sistem pendidikan sudah tentu memerlukan kekuatandan ketahanan dalaman untuk menghadapi arus tersebut. Nilai luaran semata-mata sudah nyata tidak mampu untuk bertahan lama malah boleh meruntuhkan akhlak secara drastik. Sebab itulah Institut Berakan menjadikan subjek Prinsip Islam sebagai teras kekuatan untuk membina akhlak kepada para pelajar.
Subjek ini telah diperkenalkan sejak pembukaannya dan kini penyampaiannya dibahagikan kepada empat iaitu Usuluddin, Syariah Sirah dan Tamadun Islam serta beberapa komponen lain yang akan diselang-selikan. Galakan akan diberikan kepada para pelajar dengan memberikan markah dalam mata pelajaran Prinsip Islam beserta sijil penghargaan dan hadiah. Sehingga ini, para pelajar yang mengikuti subjek ini, telah menunjukkan reaksi yang amat positif. Mereka benar-benar berminat dengan pendekatannya yang mungkin disebabkan latar belakang mereka yang 'kosong' sebelum ini.
Ruang dan kesempatan yang ada juga telah mendorongkan pihak institut menyalurkan kesedaran dan maklumat Islam secara yang lebih berkesan. Sebagai contoh, program tamrin telah diadakan untuk semua pelajar bermula dari tingkatan 1 hingga tingkatn 6. Dalam program ini, sebanyak tiga dimensi cuba diberi penekanan iaitu;
[1] Hubungan manusia dengan Khaliq. [2] Hubungan manusia sesama manusia. [3] Hubungan manusia dengan alam.
Program tamrin ini juga turut memberikan gambaran sebenar berhubung dengan isu-isu semasa yang menyentuh maruah ummat Islam. Sekaligus melatih dan melahirkan masyarakat pelajar yang perihatin dengan permasalah ummah.
Pembangunan akhlak secara khusus telah diperluaskan melalui program-program seperti kursus dan Seminar Akhlak. Penyertaan biasanya dibuka kepada umum termasuklah sekolah-sekolah kerajaan. Kerjasama juga turut diminta oleh pihak institut daripada Pejabat Pendidikan Negeri disamping penceramah-penceramah jemputan. Seminar seperti ini telah dimulakan sejak tahun 1987 dan masih berterusan hingga sekarang.
Para pelajar institut juga turut dituntut mengadakan sembahyang berjemaah di masjid dan surau serta di asrama atau tempat kediaman masing-masing. Mereka juga dituntut menghafaz al-Quran terutamanya Juz Amma.

PEMBUDAYAAN MASYARAKAT
Institut Berakan merupakan institusi pendidikan yang pertama di Terengganu malah di Malaysia yang me-WAJIB-kan para pelajar perempuannya menutup aurat secara sempurna. Ketika itu, tidak ada lagi sekolah kerajaan mahupun swasta yang mengeluarkan arahan dan pekeliling sedemikian.
Para pelajar perempuan dikehendaki memakai jilbab bulat. Waktu itu, budaya menutup aurat apatah lagi dengan jilbab bulat agak janggal sekali di negara ini malah ia dilihat lebih cenderung menjadi phobia 'dakwah'. Pada masa ini, di sekolah-sekolah kerajaan masih belum ada penguatkuasaan berpakaian menutup aurat. Kalau adapun, ianya pasti dibuat secara yang tidak seragam seperti yang dibuat oleh Institut Berakan.
Berkat kegigihan berjuang dan mengembangkan institut sebagai sebuah 'kilang pendidik', pada pertengahan tahun 80an, hasilnya mulai kelihatan. Benih yang ditabur sebelum ini sudah hidup subur dan menunggu untuk dipetik hasilnya. Institut berjaya melahirkan petugas-petugas Islam. Yang ketara waktu itu ialah guru-guru TASKI. Maka ramailah lepasan institut yang menjadi tenaga penting TASKI untuk menyumbangkan khidmat mereka kepada anak-anak pra-sekolah. Pendidikan pra-sekolah ala-Islam mula berkemabang dan terus bertunas subur.
Peringkat awal penubuhan TASKI Terengganu agak lembab sedikit. Bagaimanapun menerusi jalan yang dirintis dan menyedari akan pelbagai kelemahan yang ada, segala masalah dapat dikurangkan. Penyeragaman tugas, koordinasi jamaei', kelemahan sukatan pelajaran dan beberapa masalah lain cuba diselesaikan oleh institut.
Kursus-kursus pengurusan awal selama beberapa tahun bagi tujuan mencapai tahap pendidikan pra-sekolah telah diadakan di institut yang melibatkan penyertaan dari seluruh daerah. Di akhir tahun 80an barulah kursus-kursus seperti ini diadakan di tempat-tempat lain.
Apa yang paling jelas sumbangan Institut Berakan dalam menjayakan visi dan misi TASKI ialah dengan menyumbangkan sebahagian besar tenaga pengajar dari lulusan institut. Sekarang TASKI Terengganu sudah bertukar menjadi PASTI.
Institut juga turut menyertai secaa aktif program seminar dan muzakarah Pendidikan Islam Se-Malaysia. Selepas ianya diadakan di Kedah Darul Naim, pihak institut telah menganjurkannya pula buat kali pertamanya dalam tahun 1990. Inilah tanda betapa perihatin dan pekanya institut dalam menangani permasalahan pendidikan Islam di negara ini.
Manakala ijtimak-ijtimak telah diadakan setiap tahun bagi menghimpunkan dan mempertemukan semula pelajar-pelajar lepasan institut sebelum ini. Majlis perbincangan turut diadakan bagi meningkatkan usaha dan inisiatif ahli-ahli untuk memajukan institut dan memajukan tahap ekonomi mereka. Melalui gesaan yang berterusan, minat dan kecenderungan ahli-ahli begitu jelas untuk melibatkan diri dalam pelbagai bidang perekonomian.
Sebenarnya, institut memang menggalakkan pelajarnya pandai berdikari sesuai dengan perubahan dan cabaran semasa. Selain dari itu, institut juga menyahut cabaran media-massa khasnya dalam bidang kawartanan. Bakat penulisan turut dicungkil dan diasah dari masa ke semasa di kalangan pelajar. Aspek penulisan secara benar dan tepat telah diberi penekanan yang serius. Ia bertujuan untuk menegakkan kebenaran dan bukannya melakukan penganiayaan terhadap sesama manusia. Institut membimbing para pelajar berpersatuan melaluipersatuan pelajar(Kasaba) dan bagi lepasan pelajar melalui Persatuan Bekas Pelajar(Sisbakti).

PENERBITAN
Bahagian ini telah dikembangkan untuk memenuhi permintaan pasaran dan mengisi ketandusan bahan-bahan bacaan dalam usaha mengembangkan budaya ilmu. Institut telah menerokai bidang ini bagi menyahut cabaran semasa.
Terdapat dua kategori yang diberikan tumpuan oleh institut dalam bahagian ini iaitu menerbitkan buku-buku karya penulis tempatan dan buku-buku terjemahan yang ditulis oleh penulis asing. Selain dari menerbitkan buku versi rumi, bahagian ini juga turut menerbitkan buku versi dalam jawi.

Antara karya tempatan yang diterbitkan ialah:
(1) Kuasa Pemerintaha Islam Dan Kuasa Perundangan Islam Oleh Dr. Haji Harun Taib
(2) Kemestian, Penyelesaian Secara Islam Dan Batas-Batas Iman Dan Kufur Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
(3) Siapakah Taghut Oleh Ustaz Mohd Hamdan Mohd
(4) Pelaksanaan Undang-Undang Islam Di Malaysia Oleh Ustaz Abu Bakar Abdullah
Sementara karya asing yang telah diterjemahkan ialah:
(1) Masa Depan Umat Islam Oleh Dr. Bapak Muhammad Natsir
(2) Islam Menghancurkan Taghut Oleh Syed Qutb
(3) Islam Yang Syumul Oleh Prof. Mohammad Al-Wakeel
(4) Al-Ma'athurat dan Qiamullail (Jawi) Oleh Imam Hassan Al-Banna
(5) Aqidah Islam Oleh Imam Hasan al-Banna
(6) Pengenalan Dakwah Ikhwan Oleh As-Syeikh Said Hawwa

MEHNAH DAN TRIBULASI
KERUGIAN MASA KINI
Pentadbiran institut kini sudah pun menanggung kerugian aset mengikut nilai semasa sebanyak $300,000.

BENTUK-BENTUK CABARAN
Secara umumnya sejak 1977 hingga ke hari ini, sudah terlalu banyak dugaan dan cabaran yang dihadapi oleh institut.
Jika dibuat kesimpulan dan rumusan, dugaan dan cabaran itu boleh dibahagikan kepada 3 iaitu ;
(1) Personal(2) Birokrasi(3) Politik
Sejak dari awal 80an lagi, fitnah dan tomohan buruk terhadap institut sudah didengar. 'Sijil institut tidak laku!'. Begitulah fitnah masyarakat terhadap institut.Tetapi pihak pentadbiran tidaklah memandang serius perkara ini kerana ianya bukanlah tugas Ahli Lembaga Pengarah yang mengeluarkan sijil untuk calon-calon SRP,SPM dan STPM. Sebaliknya sijil-sijil ini dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Jadi,soal ini tidak perlu diberi perhatian oleh institut.Ini kerana institut masih ada tanggungjawab yang lebih beesar dalam bidang akademik,hal ehwal pelajar,kebajikan dan tarbiyyah.
Fitnah dan tohmahan seperti ini sebenarnya sudah lama menular diperingkat tempatan yang akhirnya diperingkat nasianal.Pada awal tahun 80an,Institut Berakan telah dikaitkan dengan masalah politik ketika sidang Dewan Undangan Negeri Terenganu.Alasan yang dikemukan adalah bersabit dengan menghasut pelajar untuk menentang kerajaan.Bagaimanapun isu bertiup seketika dan terhenti akhirnya.
Tidak memadai dengan isu ini dibangkitkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri, ia sekali lagi dibangkitkan oleh wakil rakyat Barisan Nasional di parlimen. Tuduhan kali ini berbeza dengan sebelumnya.Institut berakan telah dituduh sebagai sekolah swasta yang bergerak dan menjadi platform untuk tujuan politik (Tindakan mempolitikksn pelajar).
Ketika itu Timbalan Menteri Pelajaran (Berbangsa Cina) memberikan jawapan bahawa tidak sekolah swasta yang menjalankan aktiviti seumpama itu. Malah menurutnya lagi, semua sekolah yang wujud adalah berdaftar dan menurut prosider yang ditetapkan oleh Pendaftar Pertubuhan dan Kementerian Pendidikan.

CABARAN TAHUN 1991
Tahun 1991 telah memperlihatkan kegagalan pihak yang berkuasa terhadap Institut Berakan. Usaha untuk mengambil tindakan yang tidak rasionalgagal dilakukan bagi memenuhi tuntutan rakus politik mereka.Ini menyebabkan mereka terus berdendam untukmenghapuskan Institut Berakan yang telah banyak memberikan sumbangan kepada masyarakat dan negara.

[1] OPERASI 12 JANUARI 1991
Operasi telah bermula pada jam 5.00 petang apabila sebuah bulldozer diarahkan untuk meruntuhkan bangunan tambbahan Institut Berakan. Bagaimanapun, usaha ini telah digagalkan oleh tindakan "berani mati" dari kalangan guru dan murid-murid yan telah merebahkan diri dan berbaring dihadapan bulldozer.

[2] OPERASI MAC 1991
Operasi kedua telah berjaya dilakukan oleh pihak berkuasa dengan meroboh bangunan tambahan yang ketika itu bangunan tersebut masih dalam struktur tiang sahaja dan ianya telah dimusnahkan hanya dalam masa 15 minit.

[3] OPERASI 19 NOVEMBER 1991
Pada tarikh ini, operasi ketiga talah dijalankan dan ianya telah menjad operasi penamat untuk menghancurkan Institut Berakan.Gerakan ini telah dimulakan pada jam 4.00 pagi.Bagaimanapun kerja-kerja awal telahpun dijalankan padajam 2.00 pagi lagi.Beratus-ratus polis telah terlibat dalam peristiwa hitam ini dengan mengadakan sekatan jalanraya di sekitar kawasan berkenaan Kuala Terengganu.
Jentera-jentera kerajaan turut digunakan dalam operasi ini. Mereka menggunakan jabatan dan peralatan kerajaan untuk memusnahkan institut.Agensi kerajaan yang terlibat seperti Majlis Daerah,Majlis Perbandaran Pejabat Tanah Dan Galian,Tenaga Nasional,Telekom Malaysia Berhad,Jabatan Kerja Raya dan Pasukan Polis dan Tentera.

KOMPLEKSITI MASALAH
Seperti yang diketahui sebelum ini, Institut Berakan telahpun menjalani pelbagai dugaan dan cabarn sepanjang tempoh penubuhannya.Penubuhan institut dilakukan menurut prosedur rasmi iaitu berdaftar dam mempunyai jawatankuasa.
Sejarah awal penubuhan adalah bermula dari persetujuan meluluskan tapak institut oleh pihak berkuasa.Apabila PAS disingkir dari menjadi komponen Barisan Nasional dalam tahun 1978, kelulusan tapak untuk institut tekah ditarik balik oleh pihak kerajaan.Keputusan awal telah berubah dan ini menyulitkan pihak institut.
Pada tahun 1990 telah berlangsungnya pilihanraya umum. Dalam pilihanraya ini,parti pemerintah telah banyak kehilangan kerusi parlimen mahupun dewan undangan negeri.Di Terengganu, Barisan Nasional telahkehilangan sebanyak 10 kerusi dewan undangan negeri dan 2 kerusi parlimen.Walaupun ia kehilangan 10 kerusi kesayangannya, namun rasa takut dan cemas, sentiasa menghantui mereka untuk berdepan dalam pilihanraya umum tiga atau dua tahun lagi.
Akibat tekanan-tekanan politik terus diberikan kepada pembangkang. Kemuncaknya, tekanan politik yang bertiup tinggi itu terus meranapkan Institut Berakan yang tidak bersalah.Institut yang besar sumbangannya kepada masyarakat itu, dihapuskan tanpa sifat perikemanusiaan oleh pihak kerajaan.
Analisa dari ketiga-tiga operasi menunjukkan kewibawaan dari kuasa politik telah mencemarkan birokrasi dan sebagaimana lazimnya,tekanan politik terus menewas dan menundukkan birokrasi.Tidak ada sebab-sebab lain, melainkan untuk memusnahkan pengaruh dan kewibawaan institut.
Adalah amat menyedihkan, akibat daripada perencanaan politik yang tidak bermoral ini, para pelajar yang cintakan ilmu menjadi mangsa kebuasan dari tindakan yang tidak berperikemanusiaan.Hasil herih payah tenaga awal dan bantuan orang ramai mewujud,mengembang dan memajukan institut,akhirnya dilanyak begitu sahaja oleh pihak pemerintah.
Sumbangan tenaga guru-guru dan kakitangan serta amal jariah mereka, disia-siakan? Sedangkan institut telah menampung seratus-peratus pelajar Melayu yang beragama Islam.Mereka adalah anak bangsa kita yang menyambung titisan warisan dan zuriat generasi dahulu untuk bergerak dan membangunkan negara di masa mendatang.Mengapakah kerajaan tidak mengambil kira hal ini?